Tidak Seindah Reka Bentuk

Persatuan Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (MySET) menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan pembelian rumah harga mahal yang menawarkan reka bentuk moden seperti bumbung rata dan dinding cermin.

Menurut Presidennya, Prof. Datuk Dr. Abang Abdullah Abang Ali, reka bentuk sedemikian sebenarnya tidak bersesuaian dengan iklim dan keadaan di Malaysia yang boleh menyebabkan suhu panas dalam rumah dan pengaliran air hujan yang kurang baik di atas bumbung (rujuk keratan akhbar di bawah):

Sumber: Harian Metro, Sabtu 30 November 2013

Manakala bekas Presiden Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP), Prof. Datuk Dr. Alias Abdullah (merangkap Dekan Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Islam Antarabangsa) berkata, reka bentuk pada setiap unit kediaman adalah kosmetik semata-mata. Sedangkan yang penting adalah ruang asas pada setiap unit rumah yang ditawarkan seperti jumlah bilik mengikut keluasan persegi  dan keperluan asas lain termasuk tandas dan dapur.

Menurut beliau lagi, reka bentuk moden yang ada sekarang adalah satu kaedah yang digunakan untuk menaikkan harga rumah sehingga membebankan pembeli masa kini (rujuk keratan akhbar di bawah:)


Sumber: Harian Metro, Sabtu 30 November 2013

Selain reka bentuk moden, kos bahan binaan dan bayaran buruh yang semakin meningkat serta lokasi rumah dan kemudahan persekitaran juga menyebabkan kenaikan harga rumah di pasaran.

Malah, banyak kawasan yang dibangunkan dengan perumahan pada fasa pertama, maka pada fasa kedua akan dijual pada harga lebih tinggi. Pada hal, kenaikan itu bukan lagi disebabkan harga bahan binaan dan kos buruh semata-mata, tetapi atas dasar permintaan yang tinggi.